Doa Kesyukuran sempena ulang tahun perasmian masjid




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi





SUNGAI BESAR, Rabu, 31 Disember. - Masjid Kampung Sungai Besar malam ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena memperingati Hari Ulang Tahun Ke-42 Perasmian Masjid Kampung Sungai Besar yang berlangsung di masjid berkenaan, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Sungai Besar, bersama Datin.


Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Amir Hisyam bin Haji Masri; Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram; dan Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit.


Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, seterusnya disusuli dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail.


Kemudian, tetamu kehormat majlis mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar.


Sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa bakti, tetamu kehormat majlis telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Hanafiah bin Haji Mahmud, yang telah bersara pada Oktober 2025, atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.


Masjid Kampung Sungai Besar telah mula digunakan pada 1983 dan sehingga kini terus berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah serta kegiatan kemasyarakatan bagi penduduk Kampung Sungai Besar dan kawasan sekitarnya.


Sepanjang 42 tahun penubuhannya, masjid berkenaan terus dimakmurkan oleh para jemaah di samping peranan AJKT, Unit Muslimah, belia dan beliawanis yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan seperti ceramah ugama, kelas pengajian Al-Quran serta program kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan masyarakat.


Masjid Kampung Sungai Besar telah siap dibina pada 1 Oktober 1982 dan telah menikmati pelbagai kejayaan dalam menyatupadukan para jemaah menerusi pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.


Masjid berkenaan telah dibuka secara rasmi oleh Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, Menteri Pelajaran (ketika itu), pada 1 Januari 1984.

Close